PETALING JAYA – Penyanyi kelahiran negeri di bawah bayu, Adira AF8 mengakui kesilapan dan memohon maaf kerana tindakannya memeluk seekor anjing seperti di dalam gambar yang tersebar meluas di beberapa blog hiburan tempatan.
Menurut maklum balas Adira dari laporan mStar, dia berkata anjing yang dipeluk itu bukanlah miliknya sebaliknya kepunyaan ibu mertua kakaknya yang berbangsa Cina di Sabah.
Malah, dia juga tidak tahu bagaimana gambar itu tersebar dengan cepat sedangkan gambar itu adalah simpanan peribadi milik dirinya.
“Saya tidak nafikan itu gambar saya. Memang saya memeluk anjing itu tetapi ia bukan milik saya.
“Sebenarnya ia adalah gambar lama yang diambil pada tahun lalu ketika saya sekeluarga berkunjung ke rumah ibu mertua kakak yang bukan beragama Islam.
“Ia adalah gambar yang saya jadikan gambar profil di dalam telefon bimbit dan tidak tahu bagaimana ia boleh tersebar,” kata Adira.
Ketika ditanya tentang tindakannya yang mengundang tanggapan negatif masyarakat kepada dirinya serta tidak peka tentang hukum-hakam agama, Adira mengakui kesilapannya lebih-lebih lagi dirinya adalah selebriti yang beragama Islam.
“Saya sedar tindakan bergambar dengan anjing itu salah dan boleh mengundang fitnah. Tapi saya peluk anjing itu ketika ia dalam keadaan kering dan sudah pun menyamak selepas itu,” kata Adira.
Adira juga menyifatkan tindakannya memeluk anjing itu kerana dia terlalu geram melihatkan aksi comel anjing itu dan menyayangi semua binatang dan makhluk ciptaan Tuhan walaupun anjing haram di sisi agama Islam.
Akibat dari penyebaran gambar kontroversi itu, Adira akan lebih berhati-hati selepas ini supaya tidak menyimpan gambar-gambar yang boleh mengundang aib dan kontroversi di masa akan datang.
Dengan itu, Adira berharap agar peminat-peminatnya tidak mudah menghukum dirinya sebagai artis dengan mengeluarkan kata-kata yang kesat dan keterlaluan kerana dia juga adalah manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan.
“Saya berharap peminat tidak mudah menjatuhkan hukum atau menghentam golongan artis dengan kata-kata yang kesat dan keterlaluan.
“Saya akui perkara ini berlaku disebabkan kecuaian dan sikap kurang peka. Sebagai manusia saya tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan,” kata Adira kesal.
Sumber : Gempak