JEREMY HAMMOND, 27, memiliki kebolehan semula jadi. Semasa berumur sembilan tahun, dia sudah menjadi pengaturcara permainan video. Menjelang usia 21 tahun, dia sudah boleh ‘masuk ke dalam otak komputer’, kata satu kenyataan pihak pendakwa raya di Chicago, Amerika Syarikat.
Kepintarannya disamakan seperti karakter Superman yang memiliki pandangan bak mesin sinaran x.
“Kehebatan itu sungguh menakjubkan dan mesti digunakan secara bertanggungjawab,” ujarnya.
Hammond yang dikenali dengan nama samaran Anarchaos telah menyerang sistem komputer syarikat perisikan global, Stratfor.
Hammond adalah salah seorang daripada tujuh orang yang ditahan kerana disyaki sebagai penggodam yang menjejaskan lebih sejuta mangsa. Mereka ditahan di Amerika Syarikat, Britain dan Ireland.
Menurut Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), lima daripada mereka merupakan anggota kumpulan Lulzsec manakala seorang adalah anggota kumpulan Antisec.
Antara yang turut menjadi mangsa godaman kumpulan itu ialah Kongres Amerika Syarikat, syarikat keselamatan Unveillance, Visa, Mastercard dan Paypal.
Mereka yang ditangkap ialah Jake Davis, 19, Ryan Ackroyd, 25 dan Darren Martyn, 25, yang didakwa dengan dua tuduhan konspirasi menggodam telefon.
Donncha O’Cearrbhail, 19, pula berdepan tuduhan sama dan satu tuduhan mendedahkan data daripada komputer yang telah digodamnya.
Seorang lagi suspek lelaki turut ditangkap manakala seorang remaja 17 tahun dihadapkan di mahkamah dengan dua tuduhan menggodam komputer.
Ternyata kegiatan penggodam boleh menjadi satu ancaman serius, tidak terkecuali Malaysia.
Sebagai contoh, pada Jun tahun lalu sahaja sebanyak 198 laman web rasmi kerajaan telah digodam. Menurut Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, 90 peratus penggodam itu berasal dari dalam negara.
Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih Malaysia (MMCP), Azli Paat menggelar kumpulan penggodam itu sebagai toyol siber kerana onar yang mereka timbulkan khususnya mencuri data dan maklumat sulit.
Difahamkan, jualan maklumat kad kredit berharga di antara RM1 hingga RM300 di pasaran gelap manakala maklumat sulit akaun bank antara RM30 hingga RM2,700.
Facebook
Kemunculan penggodam tempatan itu didakwa mampu mengancam 22 juta pengguna Internet termasuk 12 juta pemilik laman sosial Facebook di negara ini.
Malah, ada pihak mendakwa semua 161,000 laman web yang didaftar di negara ini berisiko untuk digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Untuk bulan Januari lalu, Pusat Bantuan Cyber999 menerima sebanyak 253 aduan kes berkaitan pencerobohan dan 30 kes lagi berkaitan cubaan menceroboh.
Statistik yang dipaparkan dalam laman web pusat bantuan itu menyebut sebanyak 954 kes jenayah siber dilaporkan dengan peningkatan sebanyak 12 kes berbanding bulan yang sama pada tahun 2011.
Kes penipuan di Internet adalah yang tertinggi dilaporkan iaitu sebanyak 492 kes.
Sepanjang tahun lalu, kes penipuan Internet yang dilaporkan berjumlah 5,328 kes, spam (3,751), pencerobohan (3,699), kod berniat jahat (1,012), cubaan pencerobohan (734), laporan kelemahan (98) dan penafian perkhidmatan (78).
Menurut undang-undang, seseorang penggodam boleh didakwa mengikut Seksyen 233 dan 214 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (AKM).
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.
Di Malaysia juga, nama seperti Rileks Crew, Dragon Force dan Gaysec dikenali sebagai penggodam laman web yang semakin popular.
Malah, mereka bertindak berani dengan mengumumkan laman web yang telah digodam termasuk laman web kerajaan serta akuan Facebook dan Twitter selebriti.
Penggodam baik
Biarpun ada antara mereka menggelar diri sebagai ‘penggodam baik’, namun sejauh mana justifikasi untuk menghalalkan tindakan itu masih menjadi tanda tanya.
Pemantauan Jurnal terhadap laman Facebook yang didakwa milik penggodam mendapati tindakan menceroboh laman web dibuat sekadar untuk suka-suka atau mahu menguji keselamatan sesebuah laman web.
Malah, ada antara pengunjung laman sosial tersebut tanpa segan silu meminta bantuan penggodam terbabit untuk menggodam laman web tertentu.
Antara perbuatan menceroboh yang paling digemari penggodam tempatan ialah mengubah paparan muka sesebuah laman web.
Pensyarah Sosiologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Fatimah Daud menyifatkan tindakan penggodam siber yang menggodam sama ada laman web syarikat, Facebook dan Twitter atau akaun e-mel pengguna sebagai sindrom lepas geram kepada pihak tertentu.
Ia juga disifatkan sebagai salah satu teknik perang siber.
“Jika dahulu kita berperang menggunakan senjata tetapi sekarang kita berperang di alam siber untuk meluahkan rasa marah terhadap seseorang atau sesuatu pihak.
“Mereka yang melakukan aktiviti penggodaman ini menganggap tindakan mereka bukan satu kesalahan jenayah,” katanya.
Menurut beliau lagi, ada juga penggodam yang berpendapat tindakan mereka sebagai satu perjuangan.
“Propaganda melalui alam siber sangat aktif kerana kebanyakan golongan muda memilih medium itu sebagai sumber rujukan utama.
“Dalam situasi sekarang, mereka yang berada di luar Malaysia lebih dulu mendapat maklumat mengenai apa yang sedang berlaku di negara kita daripada kita yang berada di Malaysia hanya dengan melayari Internet,” katanya.
Sumber : KOSMO