Sunday, May 19

Sekarang Adalah Masa Paling Tidak Sesuai Membeli Laptop?


Laptop anda sudah perlahan? Teringin untuk membeli laptop baru yang nipis dan cantik? Tiada sesiapa boleh menghalang anda. Tetapi sedikit nasihat daripada kami, TUNGGU. Sekarang ini adalah masa yang paling tidak sesuai untuk membeli laptop. Jika anda menunggu sebulan atau dua bulan lagi, anda akan mendapat laptop yang jauh lebih baik daripada apa yang ada di pasaran sekarang.

Ya, memang betul jika anda membeli laptop bila-bila sekalipun, tidak lama kemudian akan ada versi kemaskini tetapi kali ini ianya sangat berbeza. Mac atau PC, sama sahaja, jangan beli lagi. Beberapa minggu dari sekarang, kesemua laptop dan ultrabook akan mempunyai ‘nyawa’ yang serba baru, terima kasih kepada Intel. Cip terbaru daripada Intel yang diberi nama ‘Haswell’ membawakan banyak pembaharuan dan penambahbaikan yang membuatkan penantian anda sangat berbaloi.

Kuasa Bateri Sepanjang Hari
Prestasi bateri sangat penting kepada smartphone, dan ianya jauh lebih penting untuk laptop. Dengan Haswell, laptop-laptop generasi selepas ini akan mendapat kuasa bateri yang jauh lebih baik daripada apa yang ada sekarang. Dengan sekali cas, ultrabook yang sangat nipis akan dapat bertahan 24 jam dan standby sehingga 10 hari. Tiada satu produk pun di pasaran sekarang yang hampir kepada prestasi ini.

Prestasi Lebih Berkuasa
Penambahan kuasa bateri yang banyak tidak bermakna prestasi laptop akan berkurangan, malah ianya bertambah. Haswell bukan sahaja menggunakan sedikit kuasa bateri, tetapi prestasinya lebih baik berbanding cip yang ada di pasaran ketika ini. Ini bermakna laptop yang anda akan beli pada bulan-bulan yang akan datang bukan sahaja mempunyai jangka hayat bateri yang sangat panjang, tetapi prestasi yang lebih laju dan berkuasa.

Prestasi Grafik Terbina Dalam Yang Hebat
Bercakap mengenai kuasa yang lebih hebat, Haswell juga membawakan cip grafik serba baru yang sungguh berkuasa. Cip grafik baru yang diberi nama ‘Iris’, mempunyai 2 kali lebih kuasa dan prestasi daripada cip ketika ini.
Iris membolehkan anda bermain games terbaru yang berat seperti Call Of Duty : Modern Warfare 3 dan Bioshock Infinite pada ultrabook anda tanpa menggunakan grafik kad tambahan. Selain itu, Iris juga menyokong output resolusi 4k, yang akan menjadi popular dan standard tidak lama lagi.

Pengguna Mac
Apple dikatakan akan melancarkan Macbook Air dan Macbook Pro dengan teknologi Haswell pada WWDC 2013, 10 Jun ini. Anda kemudiannya boleh mula membeli beberapa hari selepas pelancaran tersebut. Jadi, jika anda mahu membeli Mac, sila tunggu sehingga selepas 10 Jun ini.

Pengguna PC
Pelancaran Windows 8 tahun lepas menyebabkan banyak produk-produk baru yang boleh di’convert’ daripada tablet kepada laptop. Produk-produk dengan konsep ini tidak akan berhenti tetapi dengan Haswell, jangka hayat bateri dan prestasinya sudah tentu jauh lebih baik dan menguntungkan pengguna.
Bukan itu sahaja, ultrabook yang akan keluar selepas ini akan menjadi lebih nipis dan semuanya akan mempunyai touchscreen. Jika anda bukan peminat ultrabook dengan touchscreen, laptop tradisional biasa juga akan menggunakan Haswell.

Jika Anda Tidak Peduli
Anda tetap perlu tunggu! Walaupun anda tidak peduli dengan teknologi baru dan touchscreen, pelancaran laptop dan ultrabook generasi baru nanti akan membuatkan semua produk di pasaran sekarang turun harga. Produk Apple juga akan menjadi lebih murah kerana sudah ada model generasi baru. Kesemua laptop dan PC yang tidak menggunakan Haswell akan dijual dengan harga murah untuk menghabiskan stok.
Jadi, sekiranya anda memang tidak boleh sabar dan bencikan wang anda, menunggu sebulan dua lagi sebelum membeli laptop adalah pilihan yang terbaik dan ianya pasti berbaloi.

_